Lori jatuh ke laut, seorang lelaki ditemukan lemas

 Seorang lelaki dilaporkan hilang selepas terjatuh ke dalam laut susulan kemalangan membabitkan sebuah lori di Pelabuhan Barat, Klang dekat sini tengah hari tadi. - Foto Ihsan JBPM Selangor

Seorang lelaki dilaporkan hilang selepas terjatuh ke dalam laut susulan kemalangan membabitkan sebuah lori di Pelabuhan Barat, Klang dekat sini tengah hari tadi. - Foto Ihsan JBPM Selangor

SHAH ALAM: Lelaki yang dilaporkan hilang selepas terjatuh ke dalam laut susulan kemalangan membabitkan sebuah lori (haulier) di dermaga Pelabuhan Barat, Klang tengah hari tadi ditemukan lemas sekitar jam 5 petang.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Wan Md Razali Wan Ismail berkata mangsa, warga tempatan, Mohd Hafiz Abdul Salam, 24, yang bekerja sebagai 'terminal tractor operator' ditemui pada jarak 20 meter dari lokasi kejadian pada kedalaman 13 meter.

"Mayat mangsa kemudian dibawa naik ke daratan dan diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, saksi kejadian memaklumkan, lori berkenaan yang sedang parkir di tepi tiba-tiba laju seterusnya melanggar penghadang sebelum terjatuh ke dalam laut.

Terdahulu media melaporkan JBPM Selangor menerima panggilan kecemasan berhubung insiden berkenaan pada 12.42 tengah hari.

Susulan itu empat pegawai dan anggota termasuk dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pulau Indah digerakkan ke lokasi kejadian dengan dibantu 13 anggota Bomba Westport dan tiga anggota BBP Shah Alam bersama sebuah bot.

Operasi mencari dan menyelamat turut melibatkan empat anggota Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) BBP Pelabuhan Klang.

SUMBER : BHARIAN ONLINE

Catat Ulasan

0 Ulasan