Bolehkah guru, penjawat awam daftar syarikat SSM?

Penjawat awam khususnya guru antara golongan paling ramai menjalankan berbagai perniagaan sambilan bagi menambah pendapatan serta menampung kos hidup yang tinggi. 

Namun ada sebahagian kita tanpa sedar juga telah mendaftar syarikat bagi tujuan jangka panjang untuk lebih success dalam kerja sambilan juga kekal bertugas dengan penuh komitmen sebagai penjawat awam.
Berikut adalah sedikit perkongsian pengalaman seorang guru yang mendaftar SSM perniagaannya dan telah melalui beberapa proses yang agak rumit akibat tidak mengikut prosedur yang sebenar.

Aku terpanggil berkongsi pengalaman supaya lebih ramai sedar implikasinya agar tidak menjejaskan kerjaya hakiki. Aku menghubungi beberapa rakan guru dan bertanya soalan ini. 8 orang yang dihubungi, 6 dari mereka tidak tahu, tidak pasti dan menganggap ianya bukan satu kesalahan, manakala 2 sahaja guru agak yakin ianya satu kesalahan berdasarkan maklumat yang diperolehi secara tidak langsung setelah lama berkhidmat. 

Tidak mengetahui

Dari soal selidik secara tidak langsung, diyakini masih ramai penjawat awam tidak menyedari adalah merupakan satu kesalahan mendaftar syarikat di Suruhanjaya Syarikat Malaysia @ SSM. 

Aku juga sama seperti ramai rakan penjawat awam yang tidak pernah terdedah perkara ini melalui kursus induksi sewaktu mula berkhidmat. 

Disebabkan ada business part time dalam bidang takaful dan skim kelompok untuk ramai warga pendidikan dan terlibat juga sebagai motivator, maka dirasakan adalah lebih baik mendaftar syarikat di SSM. Fikiran dibayangi rasa tanggungjawab sebagai usahawan untuk mengikuti saluran sah selain menyumbang kepada pendapatan negara sebagai pembayar cukai dan zakat. SSM pula tidak menghalang penjawat awam untuk mendaftar syarikat atau memohon surat kebenaran jabatan ketika kita membuat pendaftaran. 

Perniagaan semakin berkembang

Ketika perniagaan sambilan ini semakin maju dan melibatkan usahasama beberapa pihak maka pada 2012 aku mendaftar di SSM. 

Perkembangan business ini agak baik dan mula terdedah kepada lebih ramai orang. 
Aku masih lagi tidak menyedari kesalahan mendaftar syarikat sehinggalah ada aduan dan siasatan di SSM oleh pihak tertentu. 

Terima aduan

Pada November 2016, pengetua sekolah telah menerima surat oleh ketua jabatan dan memaklumkan kesalahan aku mendaftar di SSM dengan bukti salinan yang dikemukakan. 

Ketika itulah barulah aku sedar ianya merupakan satu kesalahan dan segera membatalkan penglibatan dalam syarikat didaftarkan. 

Aku menganggap perkara ini selesai di peringkat jabatan, namun berlaku sebaliknya pada 2019. 

Hukuman buang kerja

3 tahun selepas TIDAK lagi terlibat dalam syarikat yang didaftarkan, tiba-tiba pada penghujung 2019, aku menerima surat dari Lembaga Tatatertib, Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan dengan tiga pertuduhan oleh bekas pengarah sebelum beliau bersara pada 2018 termasuklah isu pendaftaran syarikat SSM dahulu. 

Pertuduhan ketiga melibatkan hukuman BUANG KERJA !! Aku menghubungi pegawai di Jabatan Perkhidmatan Awam, bertanya isu ini kerana sudah tidak lagi aktif atau terlibat dalam syarikat dan kenapa kes ini perlu dipanjangkan ke atas. 

Menurutnya, isu ini sepatutnya selesai di peringkat jabatan pada 2016 namun ketua jabatan ketika itu tidak berpuashati dan menambah dua lagi pertuduhan atas tujuan yang tidak diketahui sebelum persaraannya. 

Setelah mengemukakan bukti dan representasi sudah TIDAK LAGI TERLIBAT dan menjawab surat SPP termasuk dua lagi tuduhan amat berat @ fitnah oleh bekas ketua jabatan, aku menunggu keputusan.
Hampir 5 bulan menanti dengan penuh penyeksaan, mental koyak dan emosi bercelaru kerana dianiaya sebegini teruk, beberapa hari lalu ketika cuti PKP, aku menerima jawapan rasmi Lembaga Tatatertib SPP yang mengadili representasi diberikan. 

Tindakan tatatertib

Aku tetap dikenakan TINDAKAN TATATERTIB atas kesalahan ‘pendaftaran syarikat’ dalam bentuk AMARAN dan dicatatkan di dalam rekod perkhidmatan. 

Manakala bagi tuduhan kedua dan ketiga, aku dibebaskan dari pertuduhan fitnah tidak berasas oleh bekas ketua jabatan.  

Apa yang menjadi persoalan ialah, jika mengikut Peraturan Pegawai Awam (kelakuan dan tatatertib) 1993, tidak dinyatakan hukuman secara jelas bagi kesalahan mendaftar syarikat tetapi lebih khusus kepada pernyataan penjawat awam diminta ‘memohon kebenaran bertulis dari ketua jabatan’. 

Catatan : sila taip ‘hukuman kesalahan mendaftar syarikat oleh penjawat awam’ dan anda TIDAK akan menemui bentuk hukuman atas kesalahan berkenaan. 

Atas sebab itu, kes ini lebih pelik kerana sepatutnya ketua jabatan tidak menghukum pada 2016 tetapi menasihatkan aku untuk memohon kebenaran. 

Lebih malang pula dokumen pengakuan itu diangkat semula ke peringkat lebih tinggi melalui seorang pegawai unit tatatertib JPN bagi tujuan tindakan di ambil terhadap aku. 

Malahan bagi tuduhan kedua dan ketiga , aku meyakini bahawa beliau secara jelas telah menyalahgunakan kuasa dengan sengaja cuba menjejaskan kerjaya aku sebagai guru. 

Belajar dari kesilapan

Aku mungkin mangsa pihak atasan jabatan, tetapi belajarlah dari pengalaman dan iktibar ini untuk rakan-rakan penjawat awam yang terlibat dalam apa-apa perniagaan: 

1. Peraturan penjawat awam secara jelas menyatakan anda boleh memohon kebenaran ketua jabatan. Maka lakukan mengikut saluran. 

2. Jika sudah daftar syarikat tetapi belum memohon kebenaran, pastikan anda tidak terdedah kepada sabotaj atau terlalu terbuka mempromosikan perniagaan. Walaupun niat baik dan sah dari segi undang-undang malah digalakkan oleh SSM tetapi risikonya amat tinggi. Lebih baik berhati-hati sebelum menjerat diri. 

3. Kepada ketua jabatan atau majikan seperti pengetua atau guru besar silalah buat peringatan kepada kakitangan anda. Letak sifat kemanusiaan ketika anda berkuasa dan menyokong usaha baik dan keinginan mereka untuk hidup lebih selesa. Jangan hukum kakitangan yang ada kebolehan dalam perniagaan selagi ianya tidak menggangu tugas hakiki mereka. Berikan sokongan moga membantu mereka untuk lebih kaya dan berjaya dengan cara yang sah. 

Rujukan : 

Catat Ulasan

0 Ulasan